Cacing

Ray FL
0

Dunia semakin tua. Penat dan uzur melayan kerenah manusia. Peperangan, kemiskinan, penindasan di mana-mana. Ketamakan membuat manusia lupa, pentingkan diri sendiri tanpa mempedulikan nilai kemanusian dan kasih sayang sesama insan apalagi terhadap haiwan dam tumbuhan. Dunia melihat semua itu. Dia mengeluh tapi dia tak mampu lakukan apa-apa selain menjalankan tugasnya. Menggantikan siang kepada malam, membawa hujan rahmat, menyuburkan tanah bagi memenuhi keperluan semua kehidupan. Membawa sinar matahari untuk menghidupkan kehidupan, demi memastikan manusia dapat mengecap keindahan alam. Membawa malam untuk setiap nyawa berehat setelah lelah bekerja mencari rezeki demi meneruskan kehidupan, malah ada yang terus bergerak meneruskan usaha tak kira siang atau malam.


Apa punca peperangan dan siapa dalangnya, kalau bukan manusia gila kuasa, gilakan duit? Mereka mahu miliki dunia ini dan menjadikan golongan bawahan anjing suruhan yang setia tanpa mampu berbuat apa-apa selain menyalak sayu dan salakan itu biasanya disambut maki hamun, kadang-kadang dibaling batu, dipaksa diam.

"Kerjajaga aku. Jaga harta bendakuKawal rumah mewahkuKejar dan gigit mereka yang mengganggu. Aku bagi kau makan, tempat berteduh. Apa lagi yang kau salakkanTak cukup? Kalau mahu lebih, kau mesti kerja lebih, berkorban. Ampu aku, kipas aku, patuh semua suruhanku. Setuju semua keputusan aku. Barulah rumah usang kau aku gantikan dengan rumah teres tiga bilik, kereta tangan kedua. Sedikit kenaikan gaji. Gadai maruah kepada aku, kau akan dapat lebih dari itu. Namakuasawang. Kalau tak sanggup, tetaplah di pondok itu, jangan menyalak. Salakkan engkau membingitkan telingaku. Jangan sampai aku usir engkau. Jangan paksa aku tembak engkau."

Dunia memerhati semua drama. Dia mengeluh, tak siapa peduli. Pencemaran, korupsi,  di mana-mana, tiap masa. Dunia terbatuk, demam, muntah, sakit akibat kerakusan manusia yang dahagakan kemewahan. Demi meraih kesenangan manusia abaikan kesihatan dunia. Bukit ditarah, hutan dibongkar, digondolkan, hingga kehidupan lain kehilangan habitat dan punca rezeki. Generasi akan datang amatlah kerugian kerana tak sempat menikmati betapa indahnya bumi ini, betapa damainya bermain-main dengan alam semulajadi. Tapi, ada manusia peduli? Segelintir. Sayangnya hanya segelintir dan suara segelintir ini ibarat anjing menyalak bukit.

Mengejar kemewahan, harta, kemasyuran, itulah yang kebanyakan manusia gilakan. Mahu lebih dari yang lain, yang terhebat, terkuat, maha kuasa, agung dari semua makhluk. Kalau boleh mereka mahu menjadi lebih agung dari Pencipta. Mahu menunjuk-nunjuk, membuktikan kekayaaan dan kekuasaan mereka, berlumba mempamerkan harta. Mereka betuhankan wang. Wang adalah berhala yang mereka sembah, kerana itu mereka amat takut dan bimbang jika mereka tidak memilik dan menguasai wang. Yang kaya tak pernah puas dan tak pernah cukup dengan apa yang ada. Itulah bukti kealpaan manusia atas segala kenikmatan yang diberi sementara. Mereka lupa, atau tidak tahu bahawa semua itu hanyalah pinjaman. Tidak kekal, sekejap dan boleh hilang sekelip mata disaat mereka tidak menduga lantaran hanyut dalam keasyikan yang memabukkan. Tiada kesedaran bahawa mereka diuji dengan kesenangan itu, malah mereka sanggup menindas demi memuaskan nafsu, demi menggandakan kekuasaan, kemewahan. Mereka megah, sombong dan angkuh. Berpura-pura simpati tapi dalam hati tiada keikhlasan.


Mengapa tidak pernah puas? Mengapa tidak pernah cukup? Mengapa tiada rasa terima kasih dan kesedaran untuk semua kenikmatan yang dianugerahkan dengan menghulurkan secebis bantuan ikhlas kepada mereka yang tidak bernasib baik? Tahukan mereka bahawa tiada siapa yang memilih untuk hidup terhimpit? Atau menginsafi kewujudan tiap kehidupan dengan membela nasib, habitat, keperluan, tak mengira flora atau fauna, tak kira status dan darjat. Tak kira apa dan siapa. Sayangnya, terlalu sikit manusia yang mengendahkan semua itu. Sebilangan besar terlalu mabuk mengejar duniawi, mementingkan diri sendiri.

Ada yang membantutapi heboh satu dunia. Cek besar, media di hotel-hotel terkemuka. sidang akhbar. Esoknya terpampang di muka surat khabar, laman web dan saluran-saluran berita. Jelas, ini bukan namanya ikhlas. Lebih memalukan, setelah membantu dia mengukit. Betapa rendahnya martabat mereka, tapi mereka tak melihatnya kerana meraka dah dibutakan kuasa dan harta. Cubalah kamu amati, wahai kamu yang bernasib baik. Kamu makan di hotel-hotel dan restaurant mewah. Ada pembantu rumah yang menyediakan semua keperluan kamu sedangkan di sudut lain, ada manusia yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Terlintaskan di fikiran kamu saat kamu mengecap kesenangan itu? Pemandu setia membawa kamu ke mana saja dengan kereta mewah, dari negara luar. Duduk bersandar megah, hanya perlu mengarah. Tidakkah kamu memandang kiri dan kanan dari tingkap kereta mewahmu, ada manusia menjaja makanan di kaki lima, menunggang basikal, motor, yang berjalan kaki, berhimpit-himpit, disesak manusia-manusia yang mengejar pengangkutan awam untuk ke tempat kerja, bersaing mencari rezeki. Tidakkah terlintas di fikiran, bagaimana rasanya mensyukuri rezeki di lantai kemiskinan walau hanya ikan goreng dan nasi tanpa kuah yang dihidang dalam pinggan retak, pinggan kertas atau polisterin. Air kosong, bukan wine merah, bukan jus buah-buah-buahan segar. Tiada kerincing sudu, pisau dan garfu. Tangan yang mencari rezeki itulah yang menyuap makanan ke mulut dengan senyap. Rezeki yang dicari dengan tulang empat kerat, dengan langkah kaki, atau kayuhan basikal tua, motor usang atau kereta semput.
Tidak, kamu tidak melihat itu dengan matahati walaupun matamu adalah saksi.

Mana hatiMana rasaMana jiwaMana sifat-sifat murni sebagai makhluk yang digelar manusia? Mengapa sanggup memusnahkan kemanusian hanya kerana tamakkan harta, gilakan kuasa? Insan tak berdosa, kanak-kanak, wanita, haiwan, tumbuhan, dunia ini menjadi mangsa serakah mereka. Amatlah menyedihkan. Mereka terkorban kesan peperangan yang kamu cipta. Perang jiwa, perang rasa, perang nuklear, perang dingin, perang dunia, perang psikologi, perang dalam diri. Bermacam-macam jenis peperangan dicipta si tamak haloba. Betapa mereka sangat-sangat taat kepada tuhan nafsu. Tidakkah mereka punya perasaan malu? Tidakkah mereka rasa berdosa ketika berkhutbah tentang agama? Hilang maruah disebabkan sifat tamak. Harga diri sanggup digadai akibat mengejar kesenangan dunia yang tak abadi.

Dan bila kesempitan hidup memaksa si miskin melakukan jenayah, walau sekecil-kecil jenayah, mereka diheret ke pengadilan. Seisi alam kamu canangkan. Bandingkanlah dengan dirimu yang melakukan jenayah kelas atasan. Makan duit berjuta-juta. Alasan kebajikan kamu gunakan. Mulut kamu suap untuk dikunci rapat-rapat. Jaga reputasimu, jaga kedudukanmu. Kau terselamat dari hukuman. Hukuman dunia. Karma itu benar. Sampai bila kamu akan terselamat? Kalau bukan di dunia, di dunia lain. Itu urusan Pencipta. Tiada pencipta yang suka dan gembira bila ciptaannya dirosakkan.

Agama mereka jadikan alasan untuk berperang. Adakah agama mengajar untuk berperang dan bunuh membunuh? Benci membenci, iri hati? Adakah agama mengajar supaya bersifat tamak haloba? Agama apa yang mereka ikutAgama yang benar dan suci? Menggunakan nama Tuhan dan nabi bagi mencapai misi? Mana rasionalmu? Adakah kau kaji kitab-kitab? Atau kau mengikut secara membuta tuli? Kau baca tapi tak tahu makna? Memalukan.

Apakah kamu sedar, bila mati, yang dibawa ke lubang kubur hanyalah jasad yang bakal dimamah cacing? Dan tiada antara kita yang dapat lari dari menjadi rezeki kepada cacing-cacing yang hanya tahu tentang keperluan. Bukan keinginan apalagi nafsu.




Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !