Stesen Keretapi Lama : Pindah

Ray FL
1

Harun dan Kiah yang baru 8 bulan bernikah terpaksa berpindah apabila Harun diarahkan untuk bertugas di Utara. Pekan yang hanya mahu dikenali dengan nama pekan Lama itu menjadi habitat baru laki bini tersebut, adalah sebuah pekan kecil yang agak sunyi, dengan populasi yang tidak padat. Tatkala senja melabuhkan tirai, hanya nyamuk dan kupu-kupu malam sahaja yang berani melebarkan sayap. Bagi manusia yang tak bersayap, terpaksalah mereka duduk berdaulat dalam rumah sementara menunggu matahari menunjukkan muka. Ini semua disebabkan rasa takut pada kegelapan, suasana sunyi dan cerita-cerita tahyul masyarakat setempat lebih-lebih lagi stesen keretapi tempat Harun menjana kewangan yang tak seberapa.

Seperti mana yang telah dijanjijkan, Harun diber penginapan percuma di sebuah kuarters pekerja keretapi yang jaraknya tak berapa jauh dari stesen. Kuarters lima pintu itu hanya didiami sepasang suami isteri berbangsa India sebelum Harun dan Kiah berpindah ke pekan Lama. Tiga buah rumah lagi masih kosong. Menurut Muthu, jiran mereka, dah lama rumah-rumah itu kosong semenjak Jalil dan Maniam berpindah ke pekan, menyewa rumah lain. Bila ditanya mengapa mereka tidak hanya menetap di kuarters tersebut, jawab Muthu, "saya tara taulah... mungkin sebab itu orang sudah anak ramai, sekolah senang mau pigi, pekan juga duduk." Begitulah jawapan yang diberikan Muthu. 

"Lu tara anak ka, Muthusami?" Tanya Harun.
"Tarak lah... sudah dua kali ada jatuh juga. Saya sudah takut," isteri Muthu, Manju menjawab tanpa teragak-agak.
"Ini perempuan banyak lemah. Satu bulan mengandung, pengsan sudah ada lapan belas kali."
Harun dan Kiah ketawa mendengar jawapan jiran baru mereka. Dihidangkan dengan capati dan kari ayam, air tangan Manju, petang itu mereka berempat duduk berbual di halaman, dalam acara suaikenal.

"Saya sini kirja sudah banyak lama. Ada 20, 22 tahun. Saya satu orang saja sini kerja lama. Ramai lain dulu, sudah pindah. Tara tahanlah, ini pekan banyak sunyi, banyak boring. Saya kalu tara apa. Saya kampung tara jauh, seberang sana juga. Satu bas, 10 minit sudah sampai. Basikal kalu, pelan-pelan kayuh, 30 minit sampai. Saya banyak suka ini tempat. Tara bising." Terang Muthu.
"Lu memang sini asal ka, Muthu?"
Muthusami yang berambut kerinting dan nipis di tengah-tengah, menggeleng-gelengkan kepala.
"Ini saya bini punya kampung. Saya asal Ipoh. Sudah kawin sama Manju, saya kerja Ipoh, driver lori. Sudah dapat ini kerja, sini pindah. Saya bini mau dekat sama dia keluarga." Harun dan Kiah berpandangan dan bertukar senyum.
"Sama macam saya. Baru kawin sudah kena pindah."
"Lu mana kampung?"
"Kami sama-sama kampung dekat Melaka. Tanjung Keling."
"Banyak jauh sini mari." Kata Manju sambil mengisi cawan-cawan teh yang dah kosong.
"Apa boleh buat, mau cari makan. Ini kerja tak susah. Saya dulu kerja kilang saja. Sudah bertunang rezeki mari, dapat ini kerja. Dua tahun sudah cukup duit, saya kawin dia." Mereka berempat ketawa mendengar cerita Harun. Sememangnya Harun berharap benar dapat kerja tetap. Pernah dia cuba memohon untuk jadi askar dan polis tetapi tidak berjaya. Kerja di kilang walaupun lebih baik dari menganggur, tetapi pendapatan sangat kecil. Harun mahukan lebih dari itu. Dia mahu memberikan kehidupan yang nyaman buat Kiah, isterinya. Hasil usaha dan sabar, akhirnya Harun berjaya mendapat kerja yang sekarang.

"Betul-betul. Rizki mana-mana juga ada. Mau rajin, apa pun mesti jalan. Malas kalu, tara makan."
"Sini banyak tanah kosong. Itu belakang luorang boleh bikin kebun sayur juga. Saya sama Muthu tara beli sayur, sindiri tanam, sindiri makan," sambung Manju sambil menundingkan jarinya ke sebelah kiri rumah mereka yang subur dengan tanam-tanaman.
"Betul tu, cadangan yang baik. Kita pun boleh buat, Kiah. Nanti tak lah Kiah bosan, boleh sama-sama Manju tanam sayur, tanam bunga."

Kiah hanya mengangguk. Matanya memerhatikan sekeliling. Kuarters tempat mereka tinggal itu dibina khas untuk menempatkan pekerja-pekerja keretapi. Entah berapa puluh tahun usianya, tidaklah tercapai di akal Kiah untuk menjangkakan. Namun dari segi reka bentuk, sudah tentu ia tinggalan penjajah British dulu. Cat mengering dan memudar, tiada tanda-tanda dijaga baik oleh majikan. Namun keadaan dalaman rumah masih elok dan cantik. Kuarters itu agak besar, mempunyai dua bilik utama dan satu bilik kecil yang terletak di hujung rumah, berhampiran dapur yang luas. Di belakang bilik tersebut, letaknya bilik air dan jamban. Bilik kecil itu mereka jadikan stor untuk menyimpan barang-barang yang tidak dipakai.

Sewaktu berpindah masuk, rumah itu kosong dan sangat bersih. Menurut Muthu, dia dan Manjulah yang membersihkan rumah itu bila mendapat tahu mereka akan menyambut kehadiran jiran baru. Mereka rasa gembira dan senang hati kerana sudah lama hidup tak berjiran. Rumah terdekat terletak kira-kira satu kilometer dari kuarters tersebut. Memang jarang orang lalu di situ, kecuali yang menghala ke stesen keretapi.

"Ini stesen, banyak sunyi. Satu hari dua kali keretapi berhenti. Satu kali malam, jam 11.40. Petang satu keretapi Selatan mari, lebih kurang jam ampat itu macam dia sampailah."
"Ramai orang naik dari sini?" Tanya Harun.
"Turun naik, tara ramai. Malam tara siapa mau datang sana. Dulu ada worung, orang ramai duduk main dam minum kopi, tapi semenjak itu worung sudah tutup, sini banyak sunyi. Lu mesti bawa bekal, kawan. Sana air panas ada boleh masak, boleh bikin kopi, tapi makan lu sindiri misti bawak."
"OK, OK. Tak jadi hal. Bini saya banyak rajin masak. Banyak sedap. Eh, Muthu, tapi mengapa warung tu tutup? Dah lama ke tutup?" Tanya Harun, ingin tahu lebih lanjut tetang tempat kerja mereka.

Agak lama Muthu berdiam, sambil mengalih muka ke arah wajah Manju, dia mula membuka cerita. "Dulu itu worung Wak Karto punya kedai. Dia bini ada dua. Satu dia kasi jaga itu worung. Satu lagi jaga kedai di pekan. Itu bini muda jaga worung punya nama Maya, sangat muda, banyak cantik. Indon mari. Ramai laki-laki datang mau cuba nasib. Itu Wak Karto sudah banyak tua... tara sesuai la." Muthu berhenti. Muka Harun dia pandang tepat-tepat. Harun mengangkat kening, mahu Muthu lanjutkan ceritanya.
"Sudah lama itu worung tutup. Ada kematian. Bini Wak Karto sana mati, kena bunuh.  Tapi tara tau itu siapa punya kirja. Itu malam juga Wak Karto mati, dalam bilik air, dia satu orang juga. Bini tua kena tangkap, polis syak itu Kamsiah bunuh mereka dua laki bini. Tapi saya tak rasa itu macam."
"Kenapa?"
Muthu menggeleng. Manju memegang tangan suaminya yang hitam berbulu.
"Sekarang tara tau lagi apa cerita. Itu Kamsiah masuk lokap banyak lama. Dengar cirita, dia sudah jadi gila, masuk mental hospital. Itu pasal itu worung kasi tutup. Kedai runcit Wak Karto juga tutup. Mereka ada satu anak, sama Kamsiah bini tua, anak laki-laki... sudah besar tapi tak pernah balik ini pekan. Lain saya tara tau. Cirita lama lah..."
"Kalau bukan Kamsiah yang bunuh, sapa yang bunuh dorang?" Kiah yang yang hanya mendengar dan mendiam agak lama menyuarakan kemusykilannya. 
"Saya tara tau... Ini kes dia juga lama sudah. Polis percaya itu Kamsiah bunuh. Tapi saya sama Kamsiah lama kenal. Banyak bagusla itu kaka. Dia hati sangat baik. Saya tau dia tak ada dendam sama Karto atau Maya. Ini ada orang dengki atau mau curi, atau apa saya tak taula."

Buat beberapa ketika mereka semua terdiam. Masing-masing dengan fikiran masing-masing. Harun dengan tanda tanya, Kiah dengan rasa tak sedap hati, apa lagi bila dia memandang suasana sekeliling yang suram dan sepi. Namun jauh di fikiran Manju yang masih memegang tangan Muthu, ada sesuatu yang tergambar di matanya bersama cerita yang Muthu singkapkan kepada jiran baru mereka.

Dalam sesi suai kenal antara ke dua keluarga tersebut, sempat juga Muthu menerangkan bahawa berhampiran dengan kuarters tersebut, terdapat kubur Islam yang bersebelahan dengan kubur Cina. Tak berapa meter dari kubur Cina ada kubur Kristian dan di sebelah kubur Kristian ada kubur Hindu. Sungguh majmuk kubur-kubur yang terdapat di pekan Lama. Kiah pula masih leka memerhati segenap penjuru kawasan kuarters tersebut. Ternyata tempat itu aman dengan pokok-pokok menghijau, menyegarkan suasana. Namun, ada sesuatu yang buat Kiah rasa tak sedap hati. Entah mengapa, dia merasakan bagai ada keganjilan dan misteri di tempat yang baru mereka diami itu.


Pejam, celik, berak, mencekik, sedar tak sedar dah dua bulan Harun bekerja di situ. Maka dah dua bulan jugalah mereka laki bini tinggal di kuarters tersebut tanpa sebarang masalah melanda atau gangguan baik dari bangsa jin atau manusia, walaupun sesekali Kiah merasa seram sejuk tanpa alasan lebih-lebih lagi bila Harun kerja malam. Sering dia mengalami peristiwa bulu roma meremang, terutama bila di dapur. Oleh sebab itu, seboleh-bolehnya Kiah mengelak untuk ke dapur di waktu malam jika Harun bertugas. Ini kerana dia tak dapat melawan rasa takut setiap kali melintasi bilik stor yang kosong, lebih-lebih lagi bila dia berdiri dekat dengan tingkap dapur berhampiran dengan sinki. Namun, rasa takut itu terpaksa jugak dilawan tatkala hasrat untuk melepaskan hajat tak dapat ditahan-tahan.

Bagi Harun pula, setiap hari berulang alik ke tempat kerja dan terpaksa mengharung kubur-kubur yang di ceritakan Muthu dengan mengayuh basikal tua, satu-satunya kenderaan yang dia miliki, dah menjadi satu perkara biasa. Tak ada rasa takut atau bimbang walaupun kadang-kadang terlintas juga di fikiran Harun tentang cerita-cerita karut dan marut, yang pernah dia dengar dari mulut-mulut penghuni pekan yang sunyi itu. Menurut Muthu, orang-orang di situ terlalu mempercayai kisah tahyul, sedangkan dia dan Manju yang sudah lama tinggal dan bekerja di situ, tak pernah sekali pun mengalami kejadian pelik. Seringkali Harun cuba memadamkan cerita-cerita yang dia dengar, tetapi Kiah pula selalu meluahkan rasa bimbang dan takut terutama apabila malam menjelang. Disebabkan terlalu kerap Kiah merungut tentang rasa tak sedap hati kepada laki tercinta, akhirnya Harun menghadiahkan bininya  seekor kucing untuk dijadikan teman. Kucing itu mereka namakan Borhan, atau nama manjanya, Bob.

"Ni dah ada Borhan, Kiah jangan risau-risau lagi. Tak ada apa yang nak ditakutkan. Tempat ni sunyi, sebab tu rasa pelik sikit. Standard la tu. Kalau jadi apa-apa, Kiah ketuk je pintu rumah Manju. Tak pun Kiah lari terus laju-laju kat abang." Harun cuba memujuk isterinya dengan gurauan, yang hanya dibalas dengan keluhan.

Malam itu, malam pertama Harun memulakan shif malam selepas seminggu ditugaskan di sebelah petang. Seperti dulusebelum berpindah, Harun bekerja ikut shif, iaitu malam, pagi dan petang di Stesen Keretapi Lama.

"Abang tak boleh tukar shif ke? Kiah tak sedap ati la..."
"Ala... tak de pe lah.  Kenapalah awak ni mengecut sangat. Kan Borhan ada."
"Kiah pergi pekan semalam, ada makcik dekat pasar tu cakap hati-hati duk sini...."
"Shhhhh... dah, jangan didengar cakap-cakap orang. Muthu dengan Manju dah berbelas tahun duk sini, tengok, tak jadi apapun." Harun memotong kata-kata yang ingin Kiah luahkan. Dia sebenarnya dah bosan dengan cerita-cerita hantu, buah mulut cerita penduduk setempat.
"Awak percayalah cakap abang. Orang-orang kampung ni boring semua, itu dorang suka buat cerita tahyul nak hiburkan hati sendiri." Harun mengucup dahi isterinya sebelum keluar memulakan tugas untuk malam tersebut.


Harun sampai 15 minit selepas jam sepuluh malam. Sedikit kelewatan akibat hujan. Terpaksa dia meredah hujan renyai untuk tidak membiarkan kawan kerjanya ternanti-nanti. Di stesen tempat kerja mereka memang ada telefon, tetapi rumah mereka tidak. Telefon awam paling dekat adalah di stesen keretapi itu sendiri. Dan ada beberapa di pekan yang tjaraknya dari rumah mereka terletak lebih jauh dari stesen keretapi. Mujurlah hujan tak bertukar lebat, kalau tidak basah kuyuplah dia sesampai di stesen.

"Ayooo... hujan sudah turun," rungut Muthu sebaik saja Harun sampai.
"Tadi renyai je Muthu, sekarang dah mula lebat. Sorrylah aku lambat."
"Tara apa, tara apa. Kici punya hal. Saya pun tara boleh balik la ini macam, kena tunggu reda."
"Ha, eloklah tu Muthu, boleh lu teman saya."
"Apa makan lu bawa ini hari?"
"Nasik sama sambal, sikit sayur. Lu lapar ka?"
"Tara... ini saya ada lagi capati, tara habis makan. Nanti saya bikin kopi, boleh makan sama-sama. Sini ada dua keping lagi capati sama kari sayuran."
Harun tersenyum. Hujan semakin lebat. Sebentar kemudian, Muthu keluar dengan membawa dua cawan kopi.

"Itu kerajaan cakap mau naik ini tempat. Tapi sudah lama cakap saja, apa pun tara bikin. Ini stesen, lu tengok Harun, sudah banyak lama. Ini British tinggal dulu."
Harun mengakui kata-kata Muthu. Stesen keretapi itu memang suram. Terletak di lembah. Tangganya usang. Rumput dan lumut membiak dengan subur tanpa gangguan manusia. Hanya sebulan sekali Majlis Daerah datang membersihkan kawasan. Kadang-kadang dua bulan sekali. Perkerja-pekerja di situ pula terpaksa mengamil alih tugas-tugas yang diabaikan Majlis Daerah demi menjaga kebersihan stesen.

"Eh, Maniam mana, sudah balik awal ke?"
"Oh saya lupa mau cakap, itu Maniam sudah awal balik tadi, Dia bini sini datang, anak sakit, dia kata. Itu Maniam sudah balik awal sedikit."
Harun mengangguk lalu menyambung, "esok Majid kerja pagi. Maniam sama lu petang. Sepatutnya ini malam saya kerja sama Jalil. Tapi bini dia beranak."
"Ya, ya, saya tau. Itu Jalil sudah banyak anak. Ini sudah enam."
"Kalau dua orang kerja malam, tara sunyi. Ini first time saya sorang jaga. Ada lain juga la rasa."
"Ayooo... lu apa mau takut? Saya selalu jaga malam sorang. Tara apa. Keretapi berenti pukul 11.40, orang kasi naik, kasi turun, kerja sudah selesai. Boleh tidur. Tara susah. Lu jangan ingat macam-macam."
"Lu lain, Muthu. Lu sudah lama, sudah faham ini tempat. Saya baru dua bulan."

Hujan yang mencurah kian reda. Sudah hampir sebelas suku malam. Muthu pulang bersama saki baki hujan lebat yang tersisa. Sunyi mula terasa. Hanya nyanyian cengkerik dan katak memecah bisu malam. Lagi dua puluh lima minit keretapi dari Selatan akan berhenti. Tiada penumpang yang menunggu untuk naik, sama seperti selalu. Jarang orang naik keretapi di situ, ramai yang lebih selesa menaiki bas untuk ke bandar-bandar lain, walaupun terpaksa bertukar dari satu pekan ke pekan lain untuk ke pekan lain. Ini kerana di pekan Lama, tiada perkhidmatan bas ekspres, kecuali bas loncat buruk yang berkhimat tiga jam sekali memasuki pekan sunyi itu. Bandar terdekat yang dibawa bas loncat tersebut terletak kira-kira 60 kilometer dari pekan Lama. Dari situ barulah mereka dapat menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk ke destinasi seterusnya.

Bagi Harun, tiada apa beza bertugas di Stesen Keretapi Pekan Lama, kecuali suasana sunyi amat ketara berbanding tempat kerja dulu. Di pekan tempat Harun bertugas sebelum dia berpindah, stesen keretapi terletak betul-betul dalam pekan, tidak seperti stesen keretapi pekan Lama yang terselit di pinggir pekan. Lengang. Hanya radio transistor menjadi peneman. Kalau bertugas pada sebelah siang, tidaklah terasa sangat sunyinya walaupun tetap lengang dengan kehadiran manusia. Tetapi bila kerja shif malam, ada satu perasaan ganjil Harun rasakan, apatah lagi inilah kali pertama dia bertugas sendirian pada malam itu.

Sejenak Harun terkenangkan Kiah. Hujan-hujan begini, alangkah seronoknya jika dapat tidur dalam pelukan isteri tercinta. Harun tersenyum sendirian.
"Ahh, mengapa aku tak ajak Kiah teman malam ni? Seronok jugak ada kawan berborak…" Bisik Harun dalam hati. Seminggu ini dia akan bertugas seorang diri. Khayalannya mencetuskan hasrat untuk mengajak Kiah menemaninya pada esok malam, dan kalau Kiah suka, tiap-tiap malam pun Harun mahu. Harun tersenyum lagi. Pasti Kiah dah lena tidur bersama Borhan, anak kucing berwarna putih yang Harun kutip di pasar. Setelah dibersihkan, dimandikan dan diberi makan, Borhan kelihatan sangat comel walaupun masih kurus. Hidup dipasar, asyik dikejar kucing-kucing besar, berebut daging dan ikan busuk. Borhan yang kecil dan tidak beribu Harun temu sewaktu membeli roti canai di gerai Ramli. Pada satu gi yang mendung, sementara menunggu roti canai, Harun menghirup teh tarik. Waktu itulah anak kucing berwarna putih itu datang menggesel di kaki Harun.

"Kucing kurap tu, maknya dah mati kena pukul dengan cina jual ikan sana tu ha," kata bini Ramli, Yati sambil mulutnya dimuncungkan ke arah kedai toukey Lim bila melihat Harun menghulurkan secebis roti canai kepada anak kucing itu.
"Kesian... Saya nak bawak baliklah. Boleh, kan?"
“Apa pulak tak bolehnya. Tak sapa peduli kucing tu.” Harun gembira dan kegembiraan itu mahu dibawa pulang ke rumah untuk Kiah.
"Eh, Run... kau duduk kuarters tu tak ada apa jadi ke?" Yati menarik kerusi dan duduk di depan Harun sambil mengelap meja dengan sehelai kain buruk yang dah sama warnanya dengan warna kopi susu. 
"Jadi apa Ti? Elok je aku duduk dah dua bulan."
"Tak ada seiapa berani duk kuarters puaka tu..."
Kata-kata Yati disekat bila Ramli datang menghampiri mereka dengan bungkusan roti canai yang telah siap.
"3 ringgit je Run, semua sekali. Teh aku belanja hari ni." Kata Ramli sambil menjeling ke arah bininya. Yati terus bangun meningglkan meja, meneruskan kerja-kerja mengemas meja-meja lain.
"Orang-orang katsini memang suka cerita hal yang tak bukan-bukan. Tak payah kau dengar sangat," kata Ramli. Kini gilirannya mengambil tempat duduk di meja Harun.
"Tapi aku kesian bini aku tu asik mengadu takut je bila aku pegi kerja... Kesian pulak aku."
"Apa yang ditakutnya? Pernah kena kacau ke?"
Harun menggeleng. "Dia cuma cakap, dia rasa tak sedap hati."
"Biasalah tempat baru. Ambik masa nak sesuaikan diri. Baru kawin lak tu."
"Tapi aku heran gak... macam tak ada siapa pedulik hal kuarters tu. Muthu dengan Manju je yang jaga rumah-rumah tu semua."
"Si Muthu... Hmm, dorang tu memang dah sebati dengan tempat tu." Sambut Ramli ringkas. Harun mengangguk.
"Ada gak aku tanya dia, bini dia, kalau pernah jadi apa-apa yang pelik. Tapidia kata OK je semua. Selama ni dia sorang je lama tinggal situ. Yang lain pindah sebab nak duduk dekat dengan pekan, senang anak-anak nak pegi sekolah."
"Bang, roti telur tiga. Roti kosong lima." Yati datang menghantar pesanan yang baru diterima. Ramli bergegas semula meneruskan kerjanya menebar roti, meninggalkan cerita Harun tanpa sebarang jawapan atau ulasan.

BAB 2

Post a Comment

1Comments

Post a Comment

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !