Wasiat Nenek

Ray FL
0
Dah empat hari Noni mimpi benda yang sama. Empat hari berturut-turut itu jugalah dia terjaga pada waktu yang sama iaitu pada pukul 4.30 pagi. Dengan peluh dan nafas yang tercungap-cungap, tak dapat lagi Noni lelapkan mata lantaran ketakutan dan kebingungan dari mimpi yang mengganggu tidurnya selama empat hari itu. Hinggakan dia merasa lemah dan lesu di tempat kerja. Puas Noni cuba menganalisa mimpi dan juga kejadian yang berkemungkinan ada kaitannya.

Lima hari lepas, sebelum dia didatangi mimpi tersebut, Noni pulang ke kampung melawat neneknya yang tinggal sendirian, nazak sakit tua. Noni anak yatim piatu, satu-satunya pewaris nenek. Nenek bukanlah seorang yang kaya dan tiada harta yang dapat diwariskan kepada Noni setelah pemergiannya menghadap Yang Esa.
Kesedihan dan kepiluan mengisi hati Noni yang sunyi bila nenek tersayang kembali ke asalnya. Noni pasrah. Dalam tangisan, Noni doakan kesejahteraan nenek di alam yang baru.

Malam pertama selepas nenek meninggal dunia, dia bermalam di rumah usang nenek, ditemani Imah, kawan sepermainannya di zaman kanak-kanak. Hanya mereka berdua. Makcik Ana ibu Imah mengajak Noni bermalam di rumahnya tetapi Noni menolak. Dia mahu mengabadikan semua memori semenjak nenek menggantikan tempat ayah dan ibunya.

MIMPI

Bayang-bayang mengejar Noni dalam samar cahaya bulan penuh. Noni berlari tetapi bayang-bayang tersebut semakin laju menghampirinya. Dia terjatuh dan bayang-bayang itu berjaya menarik tangannya tetapi nenek muncul menyelamatkan Noni. Bayang-bayang itu hilang.

"Nenek mungkin dah jauh mengembara di alam lain. Tapi nenek tak tenteram. Ada sesuatu yang masih belum terlaksana... tolong nenek. Noni.... tolong nenek..."
Mimpi itu berulang setiap malam... puas Noni fikirkan mengapa dan apakah mesej yang ingin disampaikan nenek.

Hingga pada satu pagi, setelah dikejutkan mimpi pada hari ke empat.. Noni teringat akan pesan nenek sebelum pemergiannya.
"Noni satu-satunya cucu nenek. Tak de harta nenek dapat berikan selain tanah dan pondok buruk ni."
Dengan tangan terketar-ketar, nenek mengeluarkan sepucuk sampul surat dari bawah bantalnya yang kusam.
"Ini geran tanah dan rumah. Semua atas nama Noni. Jaga baik-baik pusaka kita. Ini saja yang nenek ada..."
"Noni janji, nenek."
"Satu lagi Noni... cincin ni satu-satunya emas yang nenek ada. Turun temurun dari moyang nenek. Sepatutnya mak engkau yang mewarisinya. Tapi engkaulah pengganti sebab dia dah takde."
"Baik nek. Apa je yang nenek nak, akan saya buat. Nenek rehatlah.. Jgn byk bercakap. Batuk nenek makin teruk."
"Jangan lupa tanggalkan bila aku mati." Pesan nenek sambil terbatuk kuat hingga darah mengalir dari mulutnya.
"Ya Allah... nenek... saya panggil doktor sekarang..."
"Tak payah.. tak payah... Takde guna lagi... panggil kan imam masjid dan jiran untuk tolong kau uruskan jenazah nenek."
Noni akur. Permintaan nenek dituruti.
"Innalillah.." Ucap Imam Daud.
"Setiap yang hidup akan mati. Itu pasti. Sabarlah nak."
Jenazah diuruskan di rumah nenek pada malam yang sama. Cuma menunggu pagi. Dalam linangan airmata, Noni tak henti bacakan surah Yasin hadiah buat nenek. Hingga pagi menjelang, jenazah selamat dikebumikan.
"Cincin..." Bisik Noni perlahan.
"Aku terlupa terus pesan nenek pasal cincin..."

Disebabkan sedih, risau dan panik pada malam pemergian nenek, Noni lupa segalanya. Kini dia berfikir, tidakkah orang yang mengurus jenazah nampak cincin di jari nenek? Kalau ada, mengapa mereka tak serahkan kepada dia?


Segera Noni pulang ke kampung hari itu demi memastikan siapa yang bertanggungjawab memandikan jenazah nenek. Di fikiran Noni, pasti ada yang mengambil dan menyimpan cincin tersebut.
"Mesti ada orang curik..." Noni mendengus geram.

"Betul... Masa kami uruskan jenazah, tak de apa di tubuh nenek kamu. Kami tak jumpa cincin atau apa-apa barang kemas pun."
"Ustazah pasti?"
"Kalau ada mesti kami serahkan pada kamu. Kamu pewaris arwah. Berdosa kalau kami ambil apa-apa dari arwah."

Sendirian di rumah usang nenek, fikiran Noni tak henti untuk mencari jawapan. Semua orang dia dah tanya. Semua bagi jawapan yang sama. Akhirnya Noni mengambil keputusan untuk ke kubur nenek. Bersama sebatang cangkul dan penyodok...

DI KUBUR

Dengan kederat wanita, Noni membawa keluar mayat neneknya yang mula mereput. Bau busuk dan rasa takut hilang dari semua derianya yang dipanggil-panggil untuk membongkar jawapan. Gembira Noni bila dia terlihat di jari manis nenek masih ada cincin yang melekat. Noni cuba cabut cincin itu, tapi gagal. Keras dan tersekat oleh jari nenek yang membengkak dan kaku.

"Aku mesti selamatkan nenek. Wasiat nenek, aku kena jaga." Noni berkata-kata dengan dirinya sendiri. Terdengar di telinga Noni suara nenek...
"Noni satu-satunya waris nenek. Hanya kaulah yang dapat tolong nenek... tolong nenek Noni... tolong..."
Noni nekad. Cincin itu mesti dicabut dari jari nenek. Lantas dia mencapai pisau lalu mengerat jari neneknya. Cincin pun berjaya dicabut.

ORANG TUA DI JAMBATAN

Peluh masih mengalir di seluruh tubuh Noni. Seakan bermimpi, dia tak percaya yang dia dah menggali kubur nenek demi mendapatkan cincin warisan. Noni memandang cincin yang kini tersarung di jari manisnya. Cincin emas bertahtakan zamrud itu berkilau di bawah sinar bulan yang mengambang penuh.

Kereta dipandu tenang. Jam hampir tiga pagi sewaktu Noni melintasi jambatan yang memisahkan tanah perkuburan dari rumah nenek. Dalam kabus tiga pagi, lampu kereta yang dipandu Noni tersuluh satu lembaga. Noni menghentikan kereta. Seorang wanita tua yang berselubung kain hitam dengan wajah terlindung oleh selendang, duduk di atas tembok dekat jambatan.

"Dah lewat benar... apa dibuatnya pagi-pagi kat sini. Tak pernah nampak pun sebelum ni... siapa orang tua ni?" Soalan-soalan yang menerpa ruang fikir Noni mendorong dia keluar dari kereta untuk menghampiri wanita tersebut. Fikir Noni mungkin orang tua itu sebatang kara, tiada arah tuju dan tempat untuk bermalam.

"Assalamualaikum... cik.. makcik nak tumpang kereta? Boleh saya hantarkan."
Tanpa mendongakkan muka, orang tua itu menggelengkan kepalanya. Selepas beberapa ketika dia bersuara, 
"rumah aku kat kampung seberang. Aku selalu jalan-jalan waktu malam kat sini sambil kumpul kayu api. Tapi tak pernah aku jumpa orang lalu jambatan ni pagi pagi buta. Kau buat apa kat sini?"
Dalam nada terketar, orang tua bertanya.
"Saya.... saya... hmm.. saya dari bandar nak balik kampung. Jauh... sebab tu sampai lewat." Noni terpaksa menipu.

Orang tua itu mengangkat muka dan menyelak selendangnya. Noni pandang muka orang tua itu tepat-tepat. Masih sihat dan tidak berkedut. Mungkin awal 50an pada perkiraan Noni.
"Kalau makcik nak saya hantarkan balik, jomlah... dan lewat ni. Esok boleh jalan-jalan dan carik kayu api lagi."
Pelawa Noni sekali lagi. Matanya sempat mengerling sekeliling. Aneh, tak ada satu kayu api pun yang dibawa orang tua tersebut.
"Terima kasih. Tapi aku lagi suka jalan. Jalan-jalan waktu macam ni banyak boleh aku nampak dari jalan waktu siang."
Noni hanya mampu menelan air liur. Awan yang melintasi bulan menggelapkan alam buat seketika dan bila awan ditiup angin, cahaya bulan kembali menerangi malam.

"Kau tinggal kat mana?"
"Sana tu... lepas pada kebun sawit."
"Rumah Hajah Zainon?"
"Ye... arwah nenek saya. Dia meninggal minggu lepas. Sakit tua."
"Aku kenal benar dengan nenek kau."
Pernyataan orang tua tersebut membuat Noni semakin gelisah. Dia kenal kawan-kawan nenek tapi tidak yang ini.

Tiba-tiba angin menerpa. Selendang wanita tua hampir terbang dihembus angin namun sempat tangannya mencapai selendang tersebut lantas dia membetulkan kedudukan selendang itu.
Waktu itu Noni perasan sesuatu yang aneh...

"Nenek... maaf saya bertanya..." Noni meminta kebenaran. Wanita itu mengangguk.
"Kenapa... Kenapa jari nenek kurang satu?"
Orang tua itu ketawa agak kuat. Tangan kanannya diangkat dan ditunjukkan kepada Noni dengan jelas.
"Ada orang potong jari aku..."
"Ohhh... kejamnya... nenek kena rompak ke?"
"Tak..."
"Abis... siapa kerat jari nenek?"
Wanita tua bangun, berdiri betul-betul di depan Noni. Mata Noni direnung tajam. Merah mata tua itu membawa satu perasan ngeri yang tadinya tak Noni rasakan.

"Nek... si... si... siapa ke... kerat... ja...jari nenek?" Tanya Noni sekali lagi.
"Kau!!!!" Sergah orang tua itu. Wajahnya berubah serta merta menjelma menjadi wajah nenek Zainon. Hilai ketawa menggema. Noni jatuh. Dan bila dia bangun, dia dapati Imah dan ibunya serta tok Imam dan tok siak duduk di sekeliling bilik yang serba putih. Seketika kemudian, seorang perempuan muda berpakaian serba putih masuk ke dalam bilik dengan senyuman.

"Maaf ye... nak periksa tekanan darah sekejap."
Noni pandang satu-satu wajah di sampingnya.
"Tok Siak jumpa kau pengsan dekat jambatan pagi tadi. Terus dia bawak kau ke sini." Imah menerangkan.
Noni mengimbas kejadian malam tadi sambil mengangkat tangan kanannya.

Cincin permata zamrud berkilau di bawah sinaran lampu kamar pesakit.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !