Bukan Milik Sesiapa

Ray FL
0
Lebih kurang jam sembilan, tidurnya yang nyenyak sejak balik kerja petang tadi terganggu bila hujan yang turun renyai, kini semakin lebat. Pondok buruk yang memang tak sempurna senibina itu tak pernah mampu menghalang air hujan dari menembusi celah-celah atap zink yang bocor di sana sini. Hujan lebat berserta angin kuat menolak-nolak daun tingkap. Halim menggosok muka, dengan malas dia bangun dari tilam buruk yang menjadi alas tidurnya tanpa katil, keluar dari bilik tidur yang hanya berdindingkan papan lapis, berpintukan langsir, sumbangan dari tuan penyewa. Itulah satu-satunya bilik tidur dalam pondok yang dia panggil rumah semenjak tujuh bulan lepas. Halim berdiri di muka tingkap, mencapai daunnya yang melayang-layang ke kiri dan ke kanan, dipukul angin. Air hujan yang ditolak kuat oleh nafas udara, meludah muka cengkung lelaki berusia 22 tahun itu, membangkitkan dia yang masih mamai setelah dipaksa bangun dari tidur.


Halim kemudian berlalu ke ruang tamu. Rumah setinggan satu bilik itu memang sempit, memang sesuai untuk orang bujang, seperti dia, pencuci kereta macam dia. Mana mampu dia menyewa sebuah rumah yang lebih elok dari ini. Kalau ada pun, terpaksa berkongsi dengan orang lain. Dia tak suka bersesak-sesak, jadi dia memilih untuk tinggal begitu. Sendirian. Lebih aman. Duduk di atas kerusi rotan yang memang sudah bertahun menjadi penghuni tetap rumah tersebut, dia menyalakan rokok. Matanya memandang segenap ruang, memandang kedaifan di sekelilingnya, lalu merenung dirinya sendiri. Tiba-tiba jiwanya terpalu. Pilu menggigit hati, seperti sejuk hujan malam yang menggigit kulit. Sedih, memang dia sedih bila mengenangkan nasibnya, kehidupannya dan juga Zati yang mengagumi dan mengharapkan dia. Menunggu untuk hidup bersama. Halim mengeluh.

"Camne aku nak support hidup kita, Zati... bukan aku tak ada cita-cita nak kawin dengan kau, tapi tengokla hidup aku ni..." Dalam hati, Halim mengeluh sayu.

Zati, pelanggan yang selalu menghantar kereta untuk dicuci, dari pandang pertama, menjadi setiap hari yang dinantikannya. Sama-sama ada rindu, cinta pun memenuhi ruang, walau jauh dalam hati, rasa rendah diri menular di segenap penjuru fikiran. Zati seakan memilih untuk tidak mengerti. Perempuan itu tetap setia menanti, tetap percaya, tetap mengukuhkan rasa.

Hidup sebatang kara semenjak ibu dan ayahnya meninggal dalam nahas bas ekspres sewaktu dia berusia 13 tahun, dia tak ada sesiapa. Anak tunggal, tak berabang, tak berkakak, tak beradik, akhirnya dia bersetuju untuk tinggal dengan makciknya yang janda, satu-satunya waris yang dia ada. 

Dua tahun lebih kurang, Halim terpaksa mengambil keputusan untuk melarikan diri dari rumah yang panas itu. Dari makciknya yang panas. Lari jauh dari kampung. Lama dia menahan sabar tinggal dengan makciknya yang bekerja di kelab malam, sebagai GRO. Kerap janda muda itu membawa balik lelaki-lelaki yang dia panggil kawan, silih berganti. Pemandangan yang kurang sihat untuk disaksikan remaja seperti dia. Demi mengenangkan sekolah dan pelajaran, Halim cuba bersabar, tapi akhirnya sabar itu hilang bila ibu saudara sebelah bapanya itu telah melangkaui batas. Malu bila dia teringatkan kisah yang terjadi beberapa malam selepas makciknya tidak pergi bekerja kerana demam. Halim menjaga satu-satunya makcik yang dia ada dengan baik. Menyediakan makanan, mengemas rumah, membelikan semua keperluan, melaksanakan setiap permintaan, ada rasa sayang di hati muda Halim untuk makcik yang dipanggil Cik Ta.

“Lim, tolong belikan Cik Ta rokok, ambil duit dalam laci tu,” arah si mak saudara yang masih terlentang di atas katil. Menurut perintah dengan senang hati, Halim pun beransur ke  kedai, mendapatkan sekotak rokok untuk makcik yang dia hormati.
“Cik Ta nak makan sekarang? Alim dah buat sup ayam. Alim ambikkan, ye?” Si anak saudara menawarkan khidmat. Cik Ta bangun, menyandarkan badan di kepala katil, tersenyum memandang anak saudaranya yang telah dia pelihara semenjak dua tahun.
“Lim meh sini duk kat Cik Ta.” Arah si makcik yang berusia lewat 20-an.
“Meh sini, tolong rasakan dahi Cik Ta ni... panas lagi tak... Cik Ta rasa pening-pening lagi ni.” Akur pada arahan ibu saudara, Halim pun duduk di sebelah si makcik lalu meletakkan tapak tangannya ke dahi wanita tersebut.
“Dah kurang panas. Kalau Cik Ta pening, Alim ambilkan panadol. Tapi Cik Ta kena makan dulu.” Dengan hati yang ikhlas, Halim mahu makciknya cepat sihat.
“Sekejap lagi, demam dah kurang, Cuma rasa pening-pening. Lim boleh tolong urutkan kepala Cik Ta?” Tanpa menunggu jawapan, si makcik kembali baring dan membawa tangan Halim ke dahinya. Halim pun mula mengurut perlahan dahi Cik Ta. Dia tak mahu urutannya hanya akan menambahkan sakit.
“Pandai Alim urut... kuat sikit pun tak pe, Lim.” Halim memandang muka ibu saudara yang tersenyum memandangnya. Rasa kurang selesa kerana tak pernah dia duduk serapat itu dengan mana-mana perempuan pun selama ini.
“Halim dah ada girlfirend?” Cik Ta menyoal. Dia menggeleng.
“Kenapa? Takde awek yang Alim berkenan kat sekolah?”
“Alim nak abiskan sekolah dulu, Cik Ta. Lagipun kalau  ada awek, Alim mana ada duit nak bawak keluar, belikan hadiah...” Ketawa si makcik mendengar jawapan itu. Dia merenung muka anak saudaranya. Innocent. Naif.
“Alim kena belajar... tak semua perempuan pandang duit dan hadiah je. Ada benda lain yang boleh buat dorang happy, Alim tau tak?” Halim menggeleng lagi. Mengerling ke wajah Cik Ta yang kelihatan selesa dengan topik perbualan dan juga khidmat urutan yang dia berikan.
“Alim dah 15 tahun, kena belajar pasal perempuan tau...” Tangan Halim yang sedang mengurut dahi, diambil lalu diletakkan ke atas dada. Cepat-cepat Halim mengalihkan tangannya.
“Janganla takut, Lim... biar Cik Ta ajar Alim jadi lelaki.”

Di situlah semuanya bermula. Desakan nafsu telah menguasai akal Cik Ta yang mengikut hasutannya, cuba menggoda Halim, tapi berjaya Halim tangkis dengan kekuatan imannya yang tak seberapa. Sewaktu Cik Ta mula membogelkan diri, dia terus melangkah keluar,  meninggalkan wanita itu sendirian. Melangkah keluar dari bilik Cik Ta, dia mengikut langkah kaki. Rasa malu dan kesal bersatu, memenuhi fikiran dan kewarasan. Lama Halim keluar rumah selepas kejadian, membawa diri yang terkejut dengan tindakan si ibu saudara. Malu untuk berdepan lagi.

Namun, tiada tempat lain untuk dituju, rumah itulah tempat dia berlindung dari panas dan hujan. Tempat dia merehatkan badan, menelaah, makan, minum dan perempuan itulah teman, pengganti ibu dan ayah. Bergenang mata Halim bila mengenang ayah dah ibu... kalaulah mereka masih ada...

Berjalan pulang ke rumah teres setingkat itu, ada rasa bimbang dalam hati Halim. Bimbang untuk bertentang mata dengan mak ciknya. Bimbang jika itu terjadi lagi.
“Camne nak berdepan dengan Cik Ta? Aku betul-betul rasa malu.”
Gelisah fikiran Halim memikirkan itu, tapi langkah kakinya semakin hampir dengan rumah. Sekeliling taman perumahan senyap sunyi, diterangi cahaya lampu jalan. Rumah yang dia diami kelihatan gelap. Tapi ada sebuah kereta di balik pagar. Halim sudah sedia maklum... “Cik Ta bawak kawan lagi.” Perlahan-lahan dia membuka dan menutup pintu, tak mahu mengganggu hiburan pukul dua pagi Cik Ta. Dalam kegelapan, Halim meraba meja yang terletak di sisi pintu, mencari lampu picit yang selalu dia letakkan di situ. Memang dah jadi kebiasaan, jika pulang lewat begitu, dia tak suka menyalakan lampu. Langkahnya terpaku di depan pintu, dalam kegelapan, bila dia mendengar dengan jelas suara-suara yang terpantul dari ruang tamu. Cik Ta dan kawannya, entah yang mana satu. Sedang berpesta, di ruang tamu tentunya... bertambah-tambah lagi rasa malu dalam diri Halim. Lalu dia duduk di atas simen sejuk, tak berani untuk terus melangkah melintasi ruang tamu untuk ke bilik. Malu dia nak menyaksikan Cik Ta dengan kawan lelakinya dalam keadaan begitu.
“Aku kena keluar dari sini... tak tahan aku dengan suasana hidup camni. Aku tak nak nanti lama-lama aku terjebak dengan makcik sendiri. Sebelum benda tak elok terjadi, baik aku blah.”

Dua hari kemudian, Halim keluar dari rumah itu, mahu membawa diri jauh-jauh. Sekolah dan cita-cita terabai. Berbekal duit peninggalan arwah mak dan ayah yang tak seberapa, dia cuba meneruskan hidup di kota. Menaiki keretapi jam dua petang, akhirnya dia menjejakkan kaki di ibu kota agak lewat, lebih kurang jam dua belas malam. Terpinga-pinga, tak tahu mana harus dituju, kota yang tak pernah sunyi dari semua pencemaran bunyi dan udara itu tetap hidup tak kira selepas tengah malam atau awal pagi. Perut mula berkeroncong, dia duduk di atas bangku, melihat sekeliling. Banyak kedai makan di sana sini. Sewaktu dia mahu bergerak menuju ke salah sebuah warung, seorang lelaki tua berpakaian compang-camping, kusut masai menghampirinya, menghulurkan tangan. Halim memandang dengan rasa simpati lalu menghulurkan sekeping kertas berharga satu ringgit kepada si peminta sedekah.

“Terima kasih, nak. Tuhan akan selalu melindung engkau dan hati kau yang mulia.” Halim membalas dengan senyuman sebelum membongkokkan badan untuk mencapai beg. Ada niat dalam hati untuk menjemput orang tua itu makan bersama, tapi sepantas dia menoleh, lelaki itu tiada lagi di situ. Halim memandang sekeliling. Di depan. Kiri, kanan, belakang... tapi lelaki tua tersebut hilang terus dari penglihatan. 
“Pelik. Laju betul dia berjalan.” Bisik hati Halim. “Semoga Tuhan juga selalu melindungi engkau.” Halim memanjatkan doa dalam hati.
Bersama sebuah beg galas dan sebuah beg baju, Halim meneruskan perjalanannya ke salah satu warung untuk mengalas perut.
“Makan dulu, tidur kemudian... hai manalah aku nak tidur malam ni...”

Sepintas lalu fikirannya terkenangkan Cik Ta, “harap dia tak apa-apa. Takpela, aku pun dah besar, boleh berdikari. Biarla Cik Ta dengan dunia dia. Bila masanya betul nanti, aku balik jenguk dia.” 
Halim meninggalkan rumah Cik Ta, membawa pakaian dan beberapa keperluan lain terutama dokumen-dokumen penting. Sebelum dia pergi, ada dia tinggalkan nota untuk makciknya.
“Jangan risaukan Alim. Cik Ta baik, tapi Alim nak hidup berdikari. Tak payah carik Alim, nanti kalau panjang umur, murah rezeki, Alim akan balik jumpa Cik Ta. Terima kasih sebab sudi jaga Alim selama dua tahun, halalkan makan minum Alim. Alim tetap sayang Cik Ta. Alim tak nak tali persaudaraan kita terjejas kerana nafsu.”
Akhirnya dia tidur di stesen keretapi, sementara menunggu esok bermula.
Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !