Pondok Kenangan

Ray FL
2
Wan Bedah meratap sayu melihat pemergian Si Tompok yang dibela dari kecil. Enam tahun Wan Bedah bela Tompok. Tompok tak pernah buat onar. Tak pernah kencing atau berak merata dalam rumah.
Si Tompok Wan Bedah kutip dekat pasar waktu dia menjual sayur. Di situlah punca rezeki Wan Bedah sejak kehilangan suami yang kemalangan sewaktu mendirikan bangunan megah di kotaraya. Tinggallah dia meratapi nasib sendirian. Tompok yang dipungut dari pasar menjadi pengubat sepi Wan Bedah.

Betapa comotnya Si Tompok waktu Wan Bedah membawanya keluar dari longkang di belakang pasar, dicelah- celah rimbunan kangkung liar. Suara tangis Tompok yang membawa Wan Bedah ke situ.  Tompok nampak ketakutanMenggigil badan Tompok yang kurus. Cepat-cepat Wan Bedah lurut kan selendang buruknya untuk membalut badan Tompok yang tak bermaya. Bersama bakul yang dijinjing di tangan kanan, Tompok Wan Bedah dakap di dada dengan tangan kirinya, berjalan pulang ke rumah.

Tompok diberi makan dan minum air segar dan bersih. Mulanya Tompok takut-takut, tapi Tompok dapat rasa keikhlasan Wan Bedah. Tenang hati Wan Bedah bila mengusap Si Tompok. Dia dibersihkan, dimandikan dengan sabun wangi yang Wan Bedah gunakan tiap hari. Kotak kosong yang Wan Bedah simpan untuk dijual kepada kilang kertas Wan Bedah ambil satu darinya dan menghias tempat tidur Si Tompok agar Tompok selesa. Kain - kain perca dan towel buruk dijadikan tilam buat Si Tompok. Kotak itu Wan Bedah letak di sisi tilamnya yang tua.

Kehadiran Tompok menyerikan hidup Wan Bedah. Mereka berkongsi apa yang ada. Tompok tak pernah meminta tapi Wan Bedah tetap nak bagi yang terbaik untuk Si Tompok kesayangan.

Satu malam, tidur Wan Bedah terganggu dengan salakan anjing-anjjng liar yang kelaparan. Wan Bedah bangun menjenguk di tingkap. Dia nampak empat lima ekor anjing kurap merayau - rayau di sekeliling rumah. Wan Bedah mahu menghalau tapi dia takut untuk keluar rumah.

Dari samar cahaya lampu jalan yang sekejap padam, sekejap menyala, Wan Bedah nampak anjing-anjjng itu rakus mengerjakan sesuatu.

"Tompok... Tompok... cit cit cit..." Panggil Wan Bedah, mencari Si Tompok yang biasanya mengiau bila mendengar suara Wan Bedah. Hati Wan Bedah mula bimbang. Anjing-anjjng di luar makin mengganas. Wan Bedah menjadi geram dan akhirnya dia beranikan diri untuk keluar menghalau anjing-anjjng itu dengan batu. Bertempiaran anjing-anjjng kurap itu lari bila ditempik Wan Bedah.
Sekali lagi Wan Bedah memanggil-mangil nama Si Tompok. Suluhan lampu jalan yang tak bermaya memberi sedikit cahaya buat Wan Bedah menjejak titis- titis darah di tanah....

Tangisan Wan Bedah tak berhenti malam itu. Bangkai Si Tompok dikutip dan dikumpul walau secebis kecil... darah dan air mata bersatu membasahi kain perca yang diisi cebisan - cebisan daging Si Tompok bersama bulu - bulunya yang Wan Bedah kutip satu per satu.

Memandang sayu ke kotak tidur Si Tompok di sisi tilam usang Wan Bedah dalam rumah tak berbilik tersebut... air mata tak pernah kering untuk Si Tompok.

Rumah usang, dapur kecil, tikar nipah yang koyak sana sini... di situlah dia duduk bersila mensyukuri rezeki bersama Si Tompok. Di situ jugalah dia memanjakan Si Tompok...

Kini tiada lagi Tompok yang gembira... yang ada hanyalah kenangan dan pusara Si Tompok yang Wan Bedah bina di sebelah rimbunan kangkung liar dekat parit, belakang pondok kenangan mereka.

Post a Comment

2Comments

Post a Comment

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !